Pages

SMILE:)

SMILE:)

Wednesday, April 27, 2011

GOLONGAN YANG PERLU DIHORMATI

4 Golongan Yang Perlu Dihormati.

Dalam kerendahan diri ada ketinggian pekerti,
Dalam lembut tutur kata ada ilmu dan amal penuh di dada,
Dalam kelam tanpa pegangan, moga iman menyuluh gerangan,
Dalam hitam hati mereka belum tentu ahli neraka.

Mereka ini adalah golongan yang perlu kita jadikan panduan hidup agar kita tak lari jauh daripada hakikat bergelar insan. Kita sentiasa berpendapat, mereka yang berpangkat, mereka yang berharta tempatnya setinggi langit. Diangkat darjat mereka di mata dunia sedangkan kita lupa, bukan kita yang menentukan letak duduk ketinggian darjat manusia.
Setinggi mana kedudukan kita, segah mana nama kita di mata dunia kita tidak boleh alpa atau bangga kerana ada golongan lain yang sepatutnya lebih mendapat penghormatan daripada sekalian manusia.

Golongan pertama yang dimaksudkan di sini ialah, kanak-kanak..Kenapa mereka perlu dihormati. Kerana bayi yang baru lahir diibaratkan sesuci kain putih yang belum terconteng dengan warna warni keindahan dunia dan juga palitan kotoran yang mencemarkan mereka. Kita yang telah lama mengenal asam garam kehidupan jangan sesekali bangga diri dan riak mengatakan kita kenal apa erti hidup yang sebenar. Jangan sombong mengatakan kita lebih tahu segala-galanya kerana jangan kita alpa, semakin lama kita mengenal kehidupan, semakin banyak dugaan dan cabaran. Semakin banyak kita terpesong dan melakukan kesilapan dalam sedar atau tidak. Lumrah bergelar insan walau ilmu setinggi langit, yang dilarang mudah menjadi ikutan, yang disuruh banyak pula alasan. Jadi kita perlu menghormati kanak-kanak kerana yang pasti dosa mereka takkan menjadi sebanyak kita kerana mereka baru mengenal dunia.    

Golongan seterusnya adalah orang alim. Islam meletakkan mereka yang tinggi ilmu dan amalnya pada satu tahap yang sukar dicapai. Jerih perih mereka mencari ilmu seiring dengan ketaqwaan mereka mencari keredhaan Allah s.w.t. Sesungguhnya untuk menjadi seorang yang alim amat payah dan apatah lagi dalam dunia yang serba lebih, serba moden tp banyak kekurangan dan  kepincangan ini. Mereka ini boleh diibaratakan seperti mutiara indah dan bernilai yang datangnya dari dalam tiram yang bersalut lumpur tebal. Walau disekelilingnya hanya lumpur, hanya kotoran tetapi nilai daripada ilmu dan amal mereka menjadikan mereka permata yang bersinar dikelilingi kaca. Jadi kita yang tak mampu menjadi permata harus menghormati mereka kerana ketinggian ilmu dan amal mereka.

Golongan ketiga yang perlu kita hormati ialah orang kafir. Pasti anda semua kurang bersetuju dengan kenyataan ini. Tapi itulah yang harus kita lakukan kerana orang kafir tidak tahu apa-apa. Hidup tanpa pegangan dan terpesong dari landasan yang sebenar. Namun mereka masih terus hidup dan menjalani kehidupan mereka dengan cara mereka. Jadi kita seharusnya tidak memandang rendah terhadap mereka kerana mereka mampu menjalani hidup mereka walaupun sebenarnya mereka tidak mempunyai panduan yang membawa mereka ke jalan yang benar. Sedangkan kita panduan telah tersedia terhidang di depan mata tetapi tetap tergelincir dari landasan yang betul. Banyak orang kita yang menghuni pusat serenti, ramai orang kita yang buang anak merata-rata, orang kita juga yang hidup miskin tanpa usaha. Jadi dimana kedudukan kita yang dikatakan mempunyai pegangan agama dan panduan hidup yang lengkap.

Golongan terakhir yang perlu kita hormati ialah orang jahat. Kenapa? Kerana mereka mungkin sempat bertaubat sedangkan kita yang kononnya baik belum tentu sempat bertaubat ataupun tidak. Kita leka dan berasa senang dengan apa yang telah kita miliki. Kita mudah menuduh orang jahat dan bebas berkata apa sahaja terhadap mereka. Tetapi yakinlah bahawa manusia akan belajar daripada kesilapan. Bagi mereka yang menganggap diri mereka tidak pernah melakukan kesalahan mereka akan alpa dan mungkin terlupa memohon keampunan daripada yang Maha Esa kerana kesilapan yang mungkin tidak disengajakan. Oleh itu kita jangan sesekali lupa walaupun kita tidak membunuh, kita tidak merompak, kita manusia biasa yang tidak lari daripada melakukan kesalahan.

No comments:

Post a Comment