Pages

SMILE:)

SMILE:)

Wednesday, April 27, 2011

CANTIK

Aku tak ingat dah pernah post tak teks ni....but tak kisahlah...nak post jugak lagi....teks ni aku pernah guna masa sesi pengucapan awam induksi...thanx to Ustazah Bahyah coz aku elaborate point2 yg dia sampaikan masa ceramah dia...hehehehe....sekadar berkongsi....enjoy it!!



“Indah bukan pada zahir
Terletak pada kata
Terserlah pada santun
Terhampar pada pekerti
Yang indah sukar dicari
Tanpa menilai dengan mata hati ‘

Cantik makna yang digambarkan dalam ungkapan di atas. Apa yang dimaksudkan sangat mendalam dan perlu dihalusi supaya dapat difahami dengan sebaik mungkin. Setiap orang akan gemar pada kecantikan. Tidak kira lelaki atau perempuan. Selagi bergelar manusia yang waras, pasti setiap orang akan gembira jika dikatakan anda cantik. Bagaimana cantik yang sebenar-sebenarnya? Adakah cantik luaran menggambarkan keseluruhan individu tersebut? Ustazah Bahiyah berkata, makna cantik itu sebenarnya terselindung disebalik perkataan cantik itu sendiri. Terpulang kepada kita untuk mentafsirkannya.

Cantik yang pertama diwakili oleh huruf  C yang bermaksud cantik. Cantik  diluar dan juga cantik di dalam. Dalam dunia yang serba serbi ada ini, tidak mustahil untuk kita melihat perkara-perkara cantik dengan mudah. Yang tidak cantik sekalipun boleh diolah, boleh ditambah yang mana kurang supaya kelihatan cantik. Wanita contohnya, alat solek pelbagai ada. Pilih sahaja, tampal yang mana perlu lantas terus berpenampilan baru. Mata memandang mengundang rasa bangga di dalam hati. Adakah ini cantik yang kita cari? Cantik luaran tidak cukup untuk membina kecantikan dalaman. Sahsiah diri yang baik, pegangan agama yang kukuh membawa kita ke arah yang betul. Bagaimana membentuk kecantikan dalaman? Sebagai seorang yang punyai agama yang menjadi pegangan hidup, maka berpeganglah pada apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang. Pesan ayahku, dirikan solat kerana solat tiang agama. Seandainya kita menjaga solat kita, nescaya tidak terpesong akhlak dan akidah. Dengan itu kita dapat mengejar apa yang dimaksudkan dengan kecantikan dalaman seorang yang bergelar insan. Satu pantun juga dikongsikan oleh Ustazah Bahiyah yang berbunyi;

“ Bibir merah bak delima,
Hidung mancung bak seludang,
Rambut hitam ikal mayang,
Tapi sayang tak sembahyang,
Bila jalan terhoyong hayang,
Akhirnya jatuh ke dalam longkang.”

Jangan kita menjadi lalang yang mudah mengikut arah angin bertiup. Dengan cabaran global yang kita hadapi, budaya asing menyusup masuk perlahan-lahan, haruslah kita teguhkan hati agar kita mencapai kriteria cantik yang pertama ini.


Huruf yang kedua adalah A yang membawa maksud akhlak. Bagaimana mendapat akhlak yang baik. Bukan mudah untuk memperolehnya. Harus dididik dari kecil, harus dilentur sejak rebung. Akhlak ini perlu dipelajari dan diamalkan supaya kita menjadi orang yang baik dimata setiap yang memandang dan juga di mata-Nya yang Maha Esa.  Belajar dan terus belajar ilmu dunia dan akhirat supaya seimbang dan membentuk diri kita menjadi insan yang berguna. Kala ini, modal insan digembar-gemburkan. Menjadi berita hangat dan menjadi wadah perjuangan pihak-pihak tertentu. Dan ini merupakan satu jalan membentuk generasi yang mempunyai akhlak yang baik dan moral yang tinggi. Dalam kesibukan ibu bapa yang sepatutnya menjadi contoh kepada anak-anak, tidak hairanlah jika keruntuhan akhlak remaja menjadi isu besar dalam Negara. Anak-anak kini perlu pada perhatian, penjagaan dan pemantauan supaya mereka dapat membesar dan membentuk akhlak mereka sebaiknya dan memenuhi kehendak cantik yang sebenar.  Sekurang-kurang, setiap individu harus menerapkan di minda masing-masing, seandainya tidak berdaya menjadi contoh untuk masyarakat, biarlah mampu menjadi contoh untuk ahli keluarga terdekat.


N merupakan huruf ketiga. N memberi maksud nama. Nama menjadi asas permulaan sebuah kehidupan seorang manusia sejak daripada bayi. Ibu dan ayah bertanggungjawab memilih nama yang baik untuk anak mereka kerana nama memberi impak yang besar bukan sahaja pada kehidupan sosial anak-anak tetapi kepada tingkah laku dan perangai mereka secara tidak langsung. Islam menggalakkan kita memberi nama yang mempunyai maksud yang baik agar anak-anak ini menjadi insan yang berguna seiring dengan pemilihan nama yang cantik. Bayangkan jika anak kita atau kita sendiri mempunyai nama yang kurang elok didengar. Malunya kita andainya nama kita dipanggil dikhalayak ramai. Segan rasa di hati untuk mengakui bahawaitu adalah kita. Tapi bayangkan pula jika nama kita sedap didengar, manis bunyinya dan elok pula maknanya. Alangkah bahagianya kita setiap kali nama kita dipanggil kerana itu adalah sebahagian daripada doa. Bayangkan lagi sekiranya orang yang memanggil kita itu adalah ibu bapa kita dan orang-orang kita sayang. Tidakkah rasa disayangi dan dihargai sepanjang hidup kita. 


Cantik yang seterusnya diwakili huruf  T iaitu taqwa. Bagaimana untuk bertaqwa? Hanya dengan dua cara iaitu laksanakan apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang dilarang. Sukar untuk mencapai tahap ini kerana lumrah bergelar manusia, yang disuruh itulah kepayahan, yang dilarang itulah kegemaran. Sesungguhnya Allah s.w.t tidak menyuruh umatnya melaksanakan sesuatu yang tidak mampu dilaksanakan. Dan tidak pula melarang jika sesuatu perkara itu membawa kebaikan melainkan keburukan semata-mata. Sesungguhnya kejadian dan perintah Allah s.w.t itu adalah yang terbaik dan wajib kita sebagai umat islam berpegang teguh pada ajaran-Nya dan patuh pada perintah-Nya kerana kita adalah hamba-Nya.




I merupakan intipati cantik yang berikutnya. Suka saya kaitkan disini huruf I dengan ikhlas. Payah untuk kita ikhlas dalam setiap apa yang kita lakukan. Kita sentiasa mengharapkan orang lain supaya ikhlas terhadap kita sedangkan kita sukar membentuk keikhlasan dalam diri kita. Kita laksanakan kerja dengan manis muka, kita berikan sesuatu dengan senyuman tapi adakah di hati kita wujud rasa ikhlas. Apalah salahnya kita cuba ikhlaskan diri dalam setiap apa yang kita lalui. Ilmu ikhlas sukar dipelajari dan jerih untuk dicari kerana hanya diri kita sendiri tahu apa yang tersirat di hati. Sesungguhnya orang yang ikhlas itu tenang hidupnya dan disenangi oleh semua orang dalam sedar ataupun tidak. Ikhlas yang kita beri insyaAllah pulangan pasti lumayan suatu hari nanti.


Cantik yang terakhir adalah K iaitu keredhaan.bila sebut tentang keredhaan pasti langsung terlintas difikiran kita tentang keredhaan Allah s.w.t. Itu benar dan juga merupakan keredhaan utama yang perlu kita cari. Namun jangan kita lupa atau alpa ada lagi keredhaan yang harus kita dapatkan iaitu keredhaan kedua ibu dan ayah kita. Walau setinggi mana keududukan kita, segah mana nama kita di mata dunia, tak ke mana kedudukan kita di mata Yang Maha Esa andainya hati orang tua kita terluka. Hati mereka harus kita jaga, harus kita manja sebagaimana mereka perlakukan kita sehingga kita dewasa dan mengenal dunia.  Sesungguhnya ibu dan bapa kita adalah harta yang tidak ternilai dan tak mungkin dapat kita cari pengganti walau di mana jua. Haruslah kita ikhlas menajaga mereka selagi mereka ada kerana hilangnya mereka pasti membuat kita terasa hilangnya sesuatu yang berharga. Walaupun kita telah mencapai semua ciri-ciri cantik yang telah dinyatakan di atas tetapi kita gagal mendapat keredhaan ibu bapa, semuanya hanyalah sia-sia kerana tanpa mereka tak mungkin kita ada di dunia yang hanya dipinjamkan kepada kita untuk satu detik yang tidak panjang mana.


Setiap apa yang telah ditinta, moga menjadi tambahan kepada ilmu yang telah ada di dalam dada. Sekadar berkongsi apa yang dirasa dan didengar supaya dapat kita sama-sama mencari erti cantik yang sebenar.
                                                                                                              
                                                                                   Wajie ; Januari 2009

No comments:

Post a Comment