Pages

SMILE:)

SMILE:)

Wednesday, August 12, 2009

CABARAN GOLONGAN BELIA DALAM KERJAYA

Menelurusi perkembangan kerjaya pada masa kini, tidak hairan jika banyak jawatan-jawatan di peringkat Pengurusan&Profesional diisi oleh golongan belia. Kejayaan mereka mendapat kelulusan tertinggi dalam pengajian membantu untuk menjawat jawatan penting dalam sesebuah organisasi. Tetapi, kemampuan mereka yang dikatakan mentah sentiasa diragui dan dipertikaikan. Cabaran dan rintangan yang terpaksa dihadapi bukan sahaja memerlukan kebijaksanaan tetapi kekuatan mental dan emosi.

Kehadiran golongan muda mentadbir sesebuah bahagian mahupun jabatan mengundang rasa tidak yakin dikalangan sesetengah pihak. Ketua-ketua jabatan sangsi ke atas keupayaan mereka kerana kurangnya pengalaman dan pengetahuan berkaitan pekerjaan yang dilaksanakan. Kakitangan memandang enteng terhadap kewibawaan mereka dan kadang-kala menentang kehendak dan arahan yang diberikan. Bagi mereka, memiliki seorang ketua yang masih muda hanya akan memberikan kelebihan untuk mereka melaksanakan tugas mereka sambil lewa.

Golongan belia yang memikul tanggungjawab yang besar ini sentiasa berhadapan dengan masalah bukan sahaja dengan kerja tetapi dengan persekitaran mereka. Masalah untuk mencapai misi dan visi organisasi, sasaran bulanan, mengendalikan kakitangan dan pelanggan sentiasa memberikan tekanan dan menuntut kesabaran yang tinggi. Mampukah segala cabaran ini dihadapi dan ditangani sebaik mungkin. Pengalaman yang hanya sejengkal cuma tidak mungkin dapat menandingi keupayaan golongan yang telah lama berkhidmat. Tetapi mereka yang berpengalaman juga bermula dengan langkah pertama.

Cabaran yang dihadapi bukan sahaja mematangkan tetapi memberikan pengalaman hidup untuk terus mengenal erti kepayahan yang selama ini tidak pernah dirasai. Keupayaan mereka untuk mencapai kejayaan di peringkat universiti tidak membantu secara total kerana keputusan peperiksaan yang baik sahaja tidak mencukupi untuk terjun ke bidang yang serba mencabar ini. Banyak kemahiran-kemahiran lain yang perlu dikuasai agar mampu untuk terus bersaing sehingga mengecap kejayaan dan kepuasan dalam kerjaya yang diimpikan. Tidak semua pelajar universiti yang mencatat keputusan terbaik kekal utuh dalam sesebuah organisasi dan mampu memberikan prestasi yang terbaik. Kawalan emosi dan keupayaan berkomunikasi turut memainkan peranan dan menjadi nilai tambah kepada setiap individu.

Kemahiran komunikasi yang berkesan akan mampu memberikan impak yang besar bagi sesetengah pihak. Cara sesuatu maklumat disampaikan dan diterima amat penting terutamanya bagi organisasi yang menyediakan perkhidmatan sebagai produk mereka. Pegawai atau kakitangan yang berkhidmat boleh menyampaikan informasi yang diberikan dengan lisan dan visual yang menarik. Tetapi adakah informasi yang cuba disampaikan itu melekat di minda pendengar atau dapatkah penyampaian yang diberikan menarik minat pendengar untuk terus bersama-sama sehingga ke noktah terakhir? Ini yang menjadi isu dalam pasaran kerjaya sekarang. Graduan yang mendapat keputusan cemerlang mungkin sahaja berjaya melepasi tapisan awal dan temuduga. Namun keupayaan untuk memberikan prestasi terbaik semasa berkhidmat masih menjadi persoalan.

Persekitaran dan rakan-rakan dalam jabatan juga memberikan impak kepada setiap individu. Sokongan dan dorongan serta kerjasama yang wujud dalam sesebuah organisasi membantu untuk memajukan diri. Pengalaman dan ilmu kakitangan yang lebih senior perlu ditagih dan dikongsi supaya kita sentiasa berada di landasan yang betul. Namun, wujud segelintir belia yang dianggap kera sumbang kerana tidak mampu bergaul dngan baik. Tabiat ini perlu diubah agar kita dapat sama-sama bekerjasama menaikkan lagi organisasi yang kita wakili. Sekiranya belia diberikan tanggungjawab mengetuai sesebuah unit, maka tanggungjawab itu harus dipikul dan dilaksanakan bukan dianggap sebagai beban. Kakitangan, sumber dan pelanggan adalah aset yang perlu dijaga dan diperlakukan sebaik mungkin. Tanpa semua ini, kejayaan dan kerjasama tak mungkin dapat dicapai.

Bagi sesetengah belia yang gemarkan kerja yang lebih fleksibel, mereka boleh bekerja sendiri dalam apa bidang yang mereka minati. Mungkin dengan cara ini mereka akan lebih merasa kepuasan kerja sekiranya mereka mampu memberikan yang terbaik. Namun tidak semua belia yang ada keupayaan dan kreativiti untuk bekerja sendiri. Oleh yang demikian, sebagai belia yang mempunyai sasaran dan tujuan hidup, kita perlu laksanakan apa yang kita mampu dan cuba untuk menjadi yang terbaik.

Dalam kesamaran penerimaan semua pihak terhadap kredibiliti golongan belia, kita harus bangkit dan tonjolkan keupayaan kita. Buktikan kemampuan belia untuk menerajui dan menentukan hala tuju organisasi dan juga Negara. Kita tidak mungkin menjadi peneraju kemajuan Negara tetapi kita adalah pemangkin yang menyumbang ke arah pembangunan teknologi dan modal insan. Langkah demi langkah yang diatur perlu tersusun dan jangan sesekali lupa akan akar umbi sesebuah bangsa dan Negara. Berpijak pada bumi yang nyata dan gapailah impian walau letaknya setinggi langit.




Wajie; 09 Ogos 2009