Larian waktu yang pantas membuka ceritera kehidupan yang putarannya memberi pelbagai kesan. Ada insan yang berjaya mengharung lautan gelombang namun ada yang karam di tengah lautan. Dengan kehidupan yang serba canggih, serba moden, keseronokan berada di mana-mana. Anda cari anda telusuri, anda akan temui. Di lorong gelap, di tengah cahaya lampu berkerlipan, di hutan bandar mahupun hutan di pedalaman.
Kata-kata Ustaz Ismail Kamus,……keseronokan dunia yang diberikan Allah hanya satu daripada 99 keseronokan yang dijanjikan untuk kehidupan selepas mati. Tapi ramai yang memilih nikmat yang satu ini dan tidak ramai yang mengejar nikmat yang banyak itu.

Namun kita harus sedar dan sematkan dalam ingatan kita bahawa itu adalah amaran dari Yang Maha Esa. Satu ujian untuk melihat sejauh mana kita meletakkan diri kita di dunia yang dipinjamkan sementara ini. Adakah kita berada di landasan yang sepatutnya atau telah terpesong dari laluan kebenaran. Mampukah kita undur atau kembali ke jalan yang benar. Jangan sesekali kita mempertikaikan kebesaran Allah s.w.t kerana kita hamba-Nya. Allah hanya satu, kiblat kita hanya satu.

Menjadi kebiasaan manusia mahukan semuanya pantas dan cepat. Anak kecil mahu cepat besar, orang muda mahu cepat kahwin, yang berkahwin mahu cepat dapat anak, yang bekerja mahu cepat naik pangkat. Tetapi apabila tiba soal mati, kita tidak mahu cepat.
“ Adakala dalam sebuah kehidupan,Meniti sebuah pengharapan,Kita sering didatangi,Mencabar dan dicabar,Mengejar dan dikejar,Mengalah dan dipersalah,Berpuncak gunung,Tergapaikah langit,Andai yang dikejar tak dapat,Yang dikendong berciciran,”
Jangan kita terlalu mengejar nikmat dunia sedangkan nikmat islam yang kita nikmati sejak daripada lahir ke muka bumi ini kita abaikan. Jangan hanya Islam kerana keturunan atau diwarisi, biarlah dengan amalan sehingga nafas terakhir.
Jangan dilihat kaca sebagai permata kerana kilauannya nyata berbeza. Jangan kata manik itu mutiara kerana nilainya memang tak sama. Jangan jadi arnab yang larinya laju tapi singkat fikirannya. Cari jalan selamat, jadilah kura-kura yang langkahnya perlahan tapi akalnya panjang dan impaknya kejayaan. Pelayaran kita di lautan kehidupan tak terhenti andai cariknya layar atau patahnya tiang kerana gantinya pasti ada. Jangan dilintang angin yang lalu sebaliknya turuti angin itu sehingga ke destinasi yang kita tuju.
wajie ; 12 Januari 2009